top of page
Search

PTPTN TAK BAYAR? Terjejas Pinjaman Bank? macam mana selesai masalah?

Penstrukturan Semula Pinjaman PTPTN: Langkah Bijak Menguruskan Hutang Pendidikan Anda.


Apakah itu pinjaman?

Menurut kamus Bahasa Melayu definisi pinjaman merujuk kepada apa-apa yang dipinjamkan kepada seseorang untuk sementara dan perlu dikembalikan semula dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini termasuk pinjaman pendidikan PTPTN di mana setiap peminjam perlu membayar semula pinjaman selepas 12 bulan menamatkan pengajian, sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian. Namun yang demikian, tidak semua peminjam mematuhi kontrak perjanjian ini atas beberapa faktor, terutamanya cabaran ekonomi pada masa kini sehingga menyebabkan pinjaman mereka mempunyai tunggakan. Justeru itu, PTPTN mengambil langkah proaktif untuk peminjam yang mempunyai sebarang permasalahan, sila hadir berbincang dengan PTPTN bagi menstrukturkan semula pinjaman mereka.


1. Mengapa perlu menstrukturkan semula pinjaman?

Penstrukturan semula pinjaman sebenarnya bertujuan memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur Jadual Bayaran Balik (JBB) dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam agar amaun ansuran bulanan dapat dikurangkan atau tempoh pinjaman yang lebih panjang. Ini dilakukan untuk mengurangkan beban kewangan bulanan bagi peminjam yang mungkin mengalami kesukaran kewangan atau yang ingin memulihkan semula pengurusan kewangan mereka.


2. Kelebihan penstrukturan semula 

  • Zero tunggakan

Tunggakan pinjaman anda akan kembali sifar. Peminjam akan ditawarkan perjanjian baharu dan membatalkan perjanjian terdahulu. Tunggakan yang tinggi dan membebankan sebelum ini kembali menjadi sifar dan peminjam boleh mula membayar dengan amaun ansuran yang baharu.

  • Pengurangan ansuran bayaran bulanan

Melalui penstrukturan semula pinjaman, amaun ansuran bulanan dapat dikurangkan berdasarkan kemampuan peminjam serta memudahkan pengurusan aliran tunai bulanan.

  • Tempoh pinjaman yang fleksibel

Peminjam boleh memilih untuk memanjangkan tempoh pinjaman bagi mengurangkan jumlah bayaran bulanan, namun tempoh tersebut masih tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.

  • Mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang

Penstrukturan semula pinjaman membantu peminjam mengelak dari menghadapi tindakan undang-undang atau risiko kebankrapan akibat tidak mampu membayar balik hutang.

  • Rekod CCRIS dikemas kini

Rekod CCRIS peminjam akan dikemas kini semula berdasarkan perjanjian baharu yang dipersetujui dan peminjam perlu akur dan perlu mematuhi syarat perjanjian yang terkini untuk menjaga reputasi CCRIS.


3. Syarat penstrukturan semula

Peminjam harus memenuhi beberapa kriteria untuk layak melakukan penstrukturan semula pinjaman:

  • Pinjaman berstatus Ujrah atau konvensional

  • Pinjaman mempunyai tunggakan yang tinggi

  • Peminjam menghadapi kesukaran dalam membayar balik pinjaman PTPTN.


4. Bagaimana proses penstrukturan semula boleh dilakukan

Peminjam perlu semak penyata pinjaman melalui myPTPTN sebagai persediaan awal.

  • Peminjam hendaklah memohon rundingan bayaran balik untuk penstrukturan semula pinjaman PTPTN melalui aplikasi web myPTPTN.

  • Eksekutif Jualan PTPTN (EJ) akan menghubungi peminjam dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja setelah permohonan diterima.

  • Selepas peminjam menandatangani perjanjian yang baharu, peminjam dinasihatkan membayar balik pinjaman PTPTN secara konsisten melalui potongan gaji atau debit terus untuk mengelakkan tunggakan berulang semula dan rekod CCRIS dalam keadaan baik.


5. Dokumen yang diperlukan semasa rundingan di kaunter

Semasa proses rundingan dilakukan, peminjam dinasihatkan untuk menyediakan dokumen penting seperti:

  • Salinan kad pengenalan

  • Penyata gaji

  • Penyata KWSP

  • Dokumen sokongan lain seperti jumlah komitmen yang ditanggung sekarang


Kesimpulan

Menstrukturkan semula pinjaman PTPTN anda merupakan satu langkah bijak sekiranya anda benar-benar menghadapi masalah kewangan yang serius dan mengalami tekanan dalam menyelesaikan segala hutang yang ada.

Walau bagaimanapun, sekiranya Akaun II KWSP mencukupi untuk selesaikan tunggakan, anda boleh membayar tunggakan melalui Akaun II KWSP dan meneruskan membayar balik secara konsisten melalui potongan gaji atau debit terus supaya tiada lagi tunggakan berlaku serta rekod CCRIS anda tidak terjejas. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk meneruskan penstrukturan tersebut atau kekal dengan pinjaman sedia ada.


Info lanjut

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Careline PTPTN di 03–21933000 atau ikuti media sosial rasmi @PTPTNOfficial untuk maklumat lanjut.


Semoga artikel ini dapat memberi manfaat kepada anda.


14 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント

5つ星のうち0と評価されています。
まだ評価がありません

評価を追加
bottom of page