Apakah itu RESIDENSI WILAYAH?
Ia merupakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang lahir atau menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan.
Apakah ciri-ciri utama RESIDENSI WILAYAH?
RESIDENSI WILAYAH merupakan program rumah mampu milik yang hanya tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.
Berapakah bilangan RESIDENSI WILAYAH yang akan dibina?
Dijangka sebanyak 80,000 unit RESIDENSI WILAYAH dirancang untuk pembinaan yang akan datang di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa 10 tahun (2019 – 2028).
Apakah jenis rumah dan ditawarkan di bawah RESIDENSI WILAYAH?
RESIDENSI WILAYAH menawarkan rumah yang mempunyai tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik air, dapur, ruang tamu, ruang makan dan yard serta dalam bentuk rumah berstrata. Tiada Size yang melebihi 1000 sqf.
Siapa yang layak memohon RESIDENSI WILAYAH?
Warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, ketika permohonan dibuat dan dilahirkan atau menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan. Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan bagi pemohon bujang/tidak berkeluarga atau tidak melebihi RM15,000 sebulan bagi pemohon yang telah berkahwin.
Adakah pemohon yang bujang layak untuk memohon RESIDENSI WILAYAH?
Ya, layak, asalkan pendapatan isi rumah pemohon tidak melebihi RM10,000 sebulan dan ke bawah.
Adakah pesara layak memohon untuk membeli unit RESIDENSI WILAYAH?
Boleh. Tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.
Berapakah bilangan projek yang boleh dipohon oleh pemohon?
Pemohon hanya dibenarkan untuk memohon 1 projek sahaja.
Apakah itu pendapatan isi rumah?
Pendapatan isi rumah adalah pendapatan kasar (termasuk gaji, komisen dan elaun-elaun lain) untuk isi rumah (suami dan isteri sahaja).
Bagaimanakah untuk memohon RESIDENSI WILAYAH?
Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) di https://residensiwilayah.jwp.gov.my. Pemohon perlu memastikan alamat emel adalah tepat kerana semua notifikasi akan dihantar melalui emel. (Anda boleh minta tolong dari Agent untuk menguruskan process penghantaran dokumen tanpa caj). WhatApp: 010-2652088.
Sekiranya pemohon telah memiliki rumah di negeri lain, adalah pemohon masih layak untuk memiliki unit RESIDENSI WILAYAH?
Boleh, dengan syarat tidak memiliki sebarang hartanah/kediaman di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
Adakah sebarang pembiayaan disediakan untuk pembelian unit RESIDENSI WILAYAH?
Pembiayaan adalah urusan pemohon sendiri.
Bolehkah unit RESIDENSI WILAYAH yang dibeli dan kemudiannya dijual?
RESIDENSI WILAYAH mensyaratkan sekatan penjualan selama 10 tahun dari tarikh pertama Perjanjian Jual Beli ditandatangani.
Adakah unit RESIDENSI WILAYAH ini boleh ditawarkan dalam bentuk sewa beli (rent to own) ?
Tidak. Unit RESIDENSI WILAYAH ini hanya untuk dijual sahaja.
Bolehkah dokumen sokongan dihantar melalui alamat emel RESIDENSI WILAYAH?
Tidak boleh. Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan seperti yang disyaratkan ke dalam Portal RESIDENSI WILAYAH. Anda boleh minta tolong dari Agent untuk menguruskan process penghantaran dokumen tanpa caj. WhatApp: 010-2652088.
Penyata gaji pemohon yang terkini sebulan sahaja atau 3 bulan untuk dikemukakan kepada pihak Urusetia?
Pemohon perlu mengemukakan penyata gaji bagi 3 bulan terkini.
Jika saya menyewa sekarang, adakah saya perlu melampirkan salinan bil elektrik dan salinan bil air?
Ya, pemohon perlu melampirkan bil elektrik dan bil air atau dokumen lain sebagai bukti kediaman tersebut.
Bagaimanakah cara untuk melengkapkan Surat Akuan Sumpah?
Pemohon perlu memuat turun surat akuan sumpah dari Portal RESIDENSI WILAYAH dan perlu ditandatangani di hadapan Hakim/Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.
Bolehkah saya memohon Ketua Kampung atau wakil rakyat membuat pengesahan Surat Akaun Sumpah tersebut?
Pihak Urus Setia RESIDENSI WILAYAH hanya menerima pengesahan oleh Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret dan Pesuruhjaya Sumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1960 sahaja. Mana-mana pengesahan oleh badan atau individu yang tidak dinyatakan adalah tidak diterima.
Bagaimanakah untuk mengetahui status permohonan?
Pemohon boleh menyemak status permohonan melalui akaun pemohon di portal RESIDENSI WILAYAH. Keputusan permohonan juga akan di emel ke alamat emel pemohon bagi status Berjaya/Tidak Berjaya/Tidak Lengkap setelah disemak oleh Urus Setia.
Bolehkah pemaju membuat sebarang kutipan bagi proses permohonan RESIDENSI WILAYAH sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli?
Pemaju-pemaju perumahan tidak dibenarkan mengutip apa-apa bayaran sebelum Perjanjian Jual Dan Beli ditandatangani. Larangan ini selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989. Bayaran-bayaran yang dibenarkan dikutip dari pembeli hanyalah sebagaimana ditetapkan di dalam kontrak jualan (Surat Perjanjian Jual dan Beli) dan Jadual Pembayaran Ansuran Jadual Ketiga - Dokumen Perjanjian Jual Dan Beli.
Berapakah bayaran pertama yang perlu dikemukakan oleh pemohon?
Pemohon yang telah berjaya ditawarkan unit RESIDENSI WILAYAH perlu mengemukakan bayaran sebanyak 10% daripada harga unit yang ditawarkan kepada pemaju selaras dengan Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani antara pembeli dan pemaju untuk urusan jual beli selanjutnya.
Bolehkah saya membatalkan mana-mana permohonan projek RESIDENSI WILAYAH bagi membolehkan saya memilih projek lain?
Pemohon boleh membatalkan sendiri permohonan untuk memilih projek lain dengan syarat status permohonan adalah Tidak Lengkap/Lengkap. (Sila klik dokumen sokongan di dashboard kemudian pilih batalkan permohonan) .
Jika status permohonan adalah Semakan Urus setia/Layak Ditawar, pemohon perlu mengemukakan emel beserta alasan untuk pembatalan projek ke alamat emel urusetiaresidensiwilayah@jwp.gov.my. Maklumat yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut :
i) Nama penuh
ii) Nombor Kad Pengenalan
iii) Projek yang ingin digugurkan
iv) Alasan
Jika pemohon telah memilih berminat dan mendapat surat tawaran, pemohon perlu berurusan dengan pemaju projek yang telah ditawarkan untuk membatalkan projek yang telah ditawarkan.
Berapa lamakah tempoh sah laku permohonan?
Tempoh sah laku permohonan adalah 12 bulan dari tarikh dokumen sokongan lengkap dimuat naik.
Apakah tindakan yang akan dikenakan kepada pemohon yang mengemukakan dokumen palsu atau memberikan status perkahwinan yang tidak benar?
Permohonan akan dibatalkan dan pemohon tidak akan dipertimbangkan untuk memohon semua program rumah mampu milik di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.
Siapakah yang boleh dijadikan sebagai Penama Kedua?
Pemohon dibenarkan untuk meletakkan penama kedua dalam Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Perumahan. Penama kedua terhad kepada pasangan (suami/isteri) atau ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah (kandung) sahaja yang merujuk kepada ibu/bapa/adik-beradik/anak dan berstatus warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas. Kombinasi pendapatan pemohon dan penama kedua hendaklah tidak melebihi RM15,000 sebulan. Penama kedua juga mestilah belum memiliki Residensi Wilayah.
Bagaimanakah cara untuk mendapatkan Penyata KWSP dan semua sejarah pengeluaran KWSP?
Kaedah mendapatkan Penyata KWSP dan semua sejarah pengeluaran KWSP secara atas talian:
1). Log in i-akaun kwsp.
2). Tekan "withdrawal".
3). Tekan "withdrawal history".
4). Tekan "search" tanpa tekan mana-mana button.
5) Klik setiap jenis pengeluaran yang diluluskan untuk mendapatkan maklumat terperinci pengeluaran. Semua sejarah pengeluaran akan keluar daripada awal pengeluaran hingga kini.
6) Kemuka semua sejarah pengeluaran dengan jumlah pengeluaran ini kepada Urusetia membuat pengiraan (sekiranya Akaun 2 kurang dari 30%).
Bagaimanakah cara untuk memuat naik dokumen baharu sekiranya status permohonan tidak lengkap?
Pemohon hendaklah log masuk ke portal dan klik muatnaik dokumen sokongan di bahagian dashboard. Seterusnya pemohon perlu memadam (delete) dokumen lama yang tidak sah dan memuat naik dokumen baru.
Adakah terdapat Portal PALSU yang menggunakan logo dan jenama RESIDENSI WILAYAH?
Ya. Portal Palsu yang menggunakan logo dan jenama Residensi Wilayah adalah marketing agnecy yang hanya untuk memberi tumpuan kepada pembangunan RUMAWIP terkini (kini dikenali sebagai Residensi Wilayah) | Rumah Selangorku | MAMPU MILIK untuk manfaat pembeli rumah kali pertama dengan mengemas kini mereka dengan kejadian terkini berkisar tentang inisiatif kerajaan ini.
Portal-portal berikut TIDAK BERKAITAN DENGAN KERAJAAN - tetapi Semua Urusan Tiada akan ada Sebarang Caj.
Portal rasmi untuk memohon RESIDENSI WILAYAH hanyalah satu sahaja iaitu di https://residensiwilayah.jwp.gov.my dan permohonan adalah secara atas talian (online).
Apakah proses semakan permohonan RESIDENSI WILAYAH?
Selepas pemohon mendaftar akaun, memilih projek dan telah selesai memuatnaik dokumen, proses semakan pertama hendaklah dilakukan oleh PEMAJU tertakluk kepada kekosongan unit. Seterusnya proses semakan kedua dilakukan oleh Urusetia Residensi Wilayah. Keputusan permohonan samada Berjaya atau Tidak Berjaya kepada pemohon akan dimaklumkan selepas mendapat kelulusan Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan.
Bagaimanakah cara untuk mendapatkan Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS)
Pilihan 1: Untuk pengguna eCCRIS yang berdaftar, anda boleh terus menyemak laporan CCRIS anda melalui https://eccris.bnm.gov.my
Pilihan 2: Jika anda bukan pengguna eCCRIS yang berdaftar, anda boleh mendaftar dengan tiga (3) langkah mudah:
Langkah 1: Muat turun borang pendaftaran melalui https://www.bnm.gov.my/download-forms
Langkah 2: Lengkapkan borang dan sediakan dokumen berikut:
(a) Satu (1) salinan MyKad (depan dan belakang) atau satu (1) salinan passport (jika bukan warganegara); (b) Bil telefon terkini yang mengandungi nama, nombor telefon mudah alih anda dan pembekal talian;
(c) Dua (2) dokumen sokongan lain (contoh: lesen memandu, bil utiliti, penyata akaun bank, penyata kad kredit atau penyata KWSP).
Langkah 3: Hantar borang yang telah lengkap berserta semua dokumen melalui borang web: http:/bnm.my/LINK
Pilihan 3: Anda boleh dapatkan laporan CCRIS daripada Kiosk yang terdapat di Bank Negara Malaysia atau mana-mana cawangan AKPK. Laporan ini adalah percuma. Anda cuma perlu walk-in dan bawa kad pengenalan (MyKad).
Adakah pemilik Residensi Wilayah boleh menyewakan rumah kepada warganegara atau warganegara asing?
Pihak Urus setia Residensi Wilayah, Jabatan Wilayah Persekutuan tidak mempunyai peruntukan kuasa untuk menetapkan larangan penyewaan kepada warganegara atau warganegara asing. Pihak JMB/MC juga tidak mempunyai peruntukan kuasa untuk menghalang pembeli petak untuk menyewakan unit petak masing-masing kepada warganegara asing. Mengikut Dasar Residensi Wilayah, pembeli tidak dibenarkan menyewa rumah Residensi Wilayah kepada warganegara asing. Namun, pihak JMB/MC boleh mempertimbangkan untuk membincangkan dan memutuskan larangan sewaan tersebut beserta denda bersama pembeli petak dalam suatu mesyuarat agung dengan usul. Penguatkuasaan dan penetapan denda hanya boleh dilaksanakan tertakluk kepada House Rule yang ditetapkan oleh JMB/MC dan diputuskan bersama semasa mesyuarat agung JMB /MC tersebut. Sekiranya larangan sewaan tersebut tidak dipersetujui dalam mesyuarat agung sebagai salah satu House Rule, sebarang tindakan daripada pihak JMB/MC mengenai perkara tersebut boleh dicabar di Mahkamah oleh pemilik petak. Justeru, Tuan/Puan boleh berurusan dengan pihak JMB/MC di kediaman tersebut untuk sebarang tindakan.
Berapa lama tempoh bagi pemohon untuk muat naik dokumen?
Pemohon perlu memuat naik dokumen permohonan melalui portal Residensi Wilayah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pendaftaran akaun. Sekiranya pemohon tidak muat naik dokumen dalam tempoh 30 hari, permohonan akan terbatal secara automatik.
Apakah yang perlu dilakukan oleh pemohon setelah Layak Ditawar?
Pemohon perlu klik BERMINAT/TIDAK BERMINAT melalui portal Residensi Wilayah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh tawaran dibuat.
Comments