Apabila anda mencari hartanah di Malaysia, anda mungkin sedar ada hubungan aneh antara flat, pangsapuri dan kondominium.
Walaupun ketiga-tiga jenis hartanah ini adalah jenis kediaman berstrata, istilahnya digunakan untuk merujuk kepada jenis hartanah yang berbeza. Pelik juga kan?
Topik perbezaan antara pangsapuri dan kondo sentiasa jadi tumpuan pembeli hartanah dan penting untuk tahu sekiranya anda berminat dengan hartanah jenis ini.
Jadi, tak payah buang masa lagi! Jom kita tengok beza antara hartanah pangsapuri dan kondominium, serta beberapa ciri hartanah flat untuk pengetahuan tambahan.
Bila Kita Guna Istilah Kondominium, Pangsapuri Dan Flat?
“Pangsapuri” adalah istilah yang digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk unit kediaman dalam kawasan hartanah berstrata.
Istilah ni cukup popular di Amerika Syarikat (AS), dan mungkin kerana pengaruh kuat budaya pop ia tersebar ke seluruh dunia.
Ye lah, ramai tertanya-tanya bagaimana semua watak dalam siri sitkom popular "Friends" mampu memiliki pangsapuri sangat besar di bandaraya New York!
Menariknya, dari perspektif orang Malaysia, hartanah yang dikenali sebagai pangsapuri di AS dengan meluas (dan sekarang di Malaysia), dalam Bahasa Inggeris UK pulak ia dikenali sebagai “flat”.
Walaupun penggunaan terma pangsapuri meluas di UK, istilah “flat” masih kerap digunakan untuk merangkumi semua jenis hartanah berstrata itu.
Di Malaysia, flat adalah istilah umum yang selalunya digunakan bagi menggambarkan perumahan mampu milik dengan julat harga yang lebih rendah, terutama sekali melibatkan perumahan awam.
Pangsapuri pula adalah istilah yang sebelum ini digunakan secara meluas untuk hartanah berstrata di Malaysia, sehinggalah istilah “kondominium” digunakan yang kadangkala menyebabkan kekeliruan.
Pada masa sekarang, kondominium dilihat sebagai hartanah mewah yang menawarkan lebih banyak kemudahan dan ciri menarik berbanding pangsapuri biasa.
Istilah "kondo" pula kini menjadi alat pemasaran untuk menonjolkan sifat mewah hartanah tersebut. Manakala, istilah pangsapuri pula digunakan untuk merujuk kepada hartanah berjulat harga sederhana.
Ia masih mampu dibeli banyak golongan tanpa mengira pendapatan, tetapi tidak mempunyai kemudahan komprehensif (dan harga) seperti sebuah kondominium.
Jadi, selepas memahami bagaimana istilah ini digunakan merujuk kepada jenis hartanah berstrata tertentu, jom kita selami perinciannya dengan lebih mendalam.
Kondominium
Kondominium di Malaysia sinonim dengan kemewahan. Malah, ia adalah sebahagian besar daripada projek hartanah mewah yang banyak dilancarkan terutama sekali di kawasan bandar utama Malaysia yang sudah matang mahupun yang baru dibangunkan.
Antara contoh terbaik kondominium moden di Malaysia adalah Sky Meridien @ Sentul East, bermula dengan harga RM397,000 yang menawarkan pelbagai kemudahan jenis sukan, kawasan rekreasi, tapisan keselamatan berlapis, dan konsep rekaan bersepadu bermatlamatkan integrasi perhubungan.
Walaupun harga hartanah boleh dipengaruhi pelbagai faktor, nilai hampir RM400,000 ini adalah harga asas yang berpatutan untuk sebuah kondominium mewah.
Harganya boleh turun lebih rendah, tetapi tanda harga sesebuah kondo yang dijual jarang sekali kurang daripada RM450,000 - 550,000.
Harga pemula kebiasaannya jauh lebih tinggi, terutama sekali untuk kondominium yang terletak di lokasi pilihan ramai dan kawasan popular.
Harga kondominium mewah tiada hadnya, malah ada kondominium dijual dengan harga mencecah ratusan juta Ringgit!
Pangsapuri
Cara paling mudah bagi menentukan perbezaan antara kondominium dan pangsapuri adalah kos serta kemudahan disediakan.
Pangsapuri mampu milik di kawasan yang tarikannya kurang kompetitif di Malaysia boleh disenaraikan dengan harga permintaan RM35,000-RM100,000, jauh lebih rendah berbanding harga pemula sebuah kondominium paling murah.
Ia selalunya mempunyai kemudahan yang terhad, serta kekurangan ruang awam dan sosial yang terintegrasi seperti di kompleks kondo yang lebih mewah.
Pangsapuri merangkumi pelbagai jenis dan nilai hartanah, tetapi membuka peluang cerah untuk semua kumpulan pendapatan memiliki rumah.
PR1MA @ Kajang adalah salah satu contoh terbaik pangsapuri mampu milik yang ditawarkan dalam pasaran hartanah di Malaysia.
Ia menawarkan kemudahan fasiliti mencukupi seperti kolam renang, gelanggang bola keranjang, dan taman permainan, dengan harga permulaan yang berpatutan iaitu RM290,000-RM363,000.
Seperti yang kami jelaskan di atas, perbezaan kondo dan pangsapuri kadang-kala hanyalah pada nama.
Disebabkan itu, anda boleh saja menjumpai pangsapuri mewah yang kemudahannya serupa dengan kondo terutama di kawasan mewah dipenuhi dengan projek pangsapuri berservis.
Flat
Flat di Malaysia biasanya merujuk kepada pilihan hartanah lebih mampu milik dalam pasaran terutama sekali untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Dengan wujudnya gesaan terhadap pemilikan rumah mampu milik yang dianggap pemacu sebenar pasaran hartanah negara, flat terus menjadi pembangunan penting dalam ekosistem hartanah negara.
Sekali lagi kami ingin tekankan yang tiada peraturan tetap yang khusus dalam mendefinisikan hartanah berstrata jenis flat, pangsapuri dan kondo.
Flat dengan harga terendah di PropertyGuru sekarang meliputi julat harga RM65,000- RM200,000, hampir sama dengan harga terendah untuk pangsapuri.
Flat biasanya mempunyai kemudahan yang sangat terhad, bak langit dan bumi dengan kondominium mewah yang menjulang tinggi di kota Kuala Lumpur.
Had harga termahal untuk flat jauh lebih rendah berbanding jenis apartmen yang lain, walaupun begitu ada juga flat yang harganya boleh mencecah sekitar RM1 juta.
Apa Bezanya Tiga Hartanah Ini?
Selepas kami jelaskan dengan panjang lebar perbezaan ketiga-tiga istilah ini, kami sertakan jadual yang boleh memudahkan lagi pemahaman anda. Harapnya ia dapat membantu:
Comments